Followers

Wednesday, June 16, 2010

BAK MAHLIGAI EROPAH





Teruja sangat-sangat dengan kemewahan perabot pada kediaman ni.
Saja zures tempek kat sini...mana tau kalau-kalau ada yang ingin mencuba
konsep yang pastinya mewah ini.

Pengurus hias pangsapuri ibarat kediaman mewah hasil padanan perabot klasik warna emas, rona kuning diraja

CABARAN paling getir menghias apartmen keluasan terhad adalah usaha menentukan perabot, kemasan dan aksesori. Lebih sukar andai pemilik kediaman mempunyai selera besar terhadap perabot klasik bersadur emas, berhias kerawang serta berukuran besar.

Namun, Nazri Ismail membuktikan minat dan cita rasa tidak patut disekat sebaliknya dijadikan tunjang utama kala menzahirkan kediaman impian. “Saya peminat nombor satu perabot klasik cita rasa Eropah khasnya yang mengutarakan kemasan keemasan. Namun, saya akur dengan kekangan ruang yang tidak mengizinkan saya membeli set lengkap perabot itu.

“Jadi, saya hanya pilih yang mana sesuai serta menepati fungsi ruang saja. Kemudian, baru dirancang susun atur khusus untuknya supaya ruang kekal lapang biar diisi perabot mewah hiasan,” katanya yang mendiami apartmen mewah di tengah-tengah Kuala Lumpur itu sejak 1995.

Jejaka berasal dari Alor Setar, Kedah itu berkata, penjagaan dan penyelenggaraan perabot mewah bukan saja rumit malah turut menuntut pengorbanan masa dan juga tenaga. Sebaik sampai tempoh, perabot kepunyaannya itu perlu dibersihkan dengan bahan kimia khas yang disyorkan pakar perabot.

“Begitupun, ia tidak boleh terus dicuci sebaliknya kerangkanya perlu dilap menggunakan kain kering. Jika tidak, hilanglah seri dan kilauan perabot krom (besi bersalut kromium) ini ,” katanya yang bertugas sebagai pengurus.
Tidak cukup dengan warna keemasan, Nazri juga amat berminat dengan rona kuning lalu menjadikan warna itu tonggak hiasan dalaman yang terserlah pada langsir, kertas dinding, candeliar, sofa kulit di ruang menonton, permaidani malah seisi hiasan dalaman bilik tidurnya.

“Saya sukakan suasana mewah bak istana Eropah. Tiada cara lain sesuai menggambarkan tempat itu melainkan penggunaan warna kuning perabot dan kemasan disulami hitam melalui kusyen hiasan gambar mahkota diraja.

“Bagi menyemarakkan lagi suasana, saya pilih siling lepa kumai corak kerawang keemasan,” katanya berkongsi penggunaan warna kuning di apartmen seluas 1,322 kaki persegi berkenaan.

Ruang sempit ada kalanya membantutkan pelaksanaan susun atur namun Nazri yang enggan tunduk dengan kekurangan itu sebaliknya memilih cermin sebagai penyelesaian dalam bentuk hiasan dinding serta turut dijadikan sebahagian kemasan pintu bilik.

“Bagi saya cermin amat membantu dari segi memberi impak luas terutama ruang penting seperti ruang tamu. Malah ada kisah lucu di sebalik cermin ini yang mana seorang kenalan menyangkakan ada ruang lain bersambungan dengan ruang tamu. Dia sudah bersedia hendak melangkah ke ruang itu namun tidak melakukannya sebaik dimaklumkan ruang dilihatnya itu adalah cermin,” katanya.

Begitupun, pilihan cermin hiasan Nazri bukan sembarangan tetapi yang memaparkan pengaruh gaya Eropah mencuri perhatiannya. Selain itu, dipastikan juga cermin penghias dinding lebar serta tingginya seiring dengan kabinet hias mencecah siling.

Dalam pada ruang meriah aksesori dan mengutarakan dominasi perabot besar, hak bersendiri tetap menjadi pegangan utama Nazri kala menghias.

Ini diperlihatkan melalui pembentukan ruang menonton menggantikan balkoni manakala ruang makan ditempatkan berdekatan ruang dapur. Pelan lantai begini selain dilihat memudahkan aliran pergerakan juga dianggap memberi keselesaan baik kepada tetamu mahupun penghuni rumah.

“Oleh kerana balkoni luas, saya ubahsuai tempat itu menjadi sebahagian ruang kediaman. Dulu, saya tempatkan ruang makan di situ manakala ruang menonton bersebelahan dengannya. Lama-kelamaan macam tidak kena pula apabila aktiviti menonton terganggu bukan saja oleh perbualan bahkan orang yang lalu lalang.

“Masalah selesai sebaik ruang menonton dialih kedudukan ke balkoni. Selain aman gangguan, suasana terbuka tempat itu sesuai dijadikan tempat bersantai dan beristirahat,” katanya.

INFO: Kediaman Nazri Ismail
  • Jenis apartmen
  • Berkeluasan 1,322 kaki persegi
  • Gaya penataan klasik diadun dengan pengaruh istana Eropah
  • Perabot bersadur keemasan digandingkan perhiasan warna kuning Diraja.
  • Gantungan cermin berukuran suku dinding di ruang tamu memberi kesan luas secara ilusi.
  • Memilih pencahayaan romantik dan lampu boleh laras bagi menyerlahkan ciri eksklusif ruang.
  • Balkoni diubahsuai menjadi ruang menonton demi suasana santai kepada penghuni dan tetamu.

  • 0 comments:

    Post a Comment