Wednesday, June 23, 2010

Kreativiti gantung potret


Menggantung gambar memerlukan ilham serta sentuhan kreatif. Elok susunan serta indah elemen yang ditonjolkan, bukan saja mengundang perhatian tetamu, malah apa yang dipamerkan mampu menambah nilai karya seni itu.

Bagi yang mencari teknik dan panduan menghias dinding khususnya menggantung gambar, petua pakar hiasan dalaman, Roddie Harris boleh dicuba.

Harris berkata, perkara pertama yang perlu dibuat sebelum menggantung gambar ialah menetapkan titik tumpu di dinding. Cara ini amat berguna bagi sekelompok gambar, lukisan atau foto.

“Susun atur paling kreatif ialah menempatkan secara berkelompok gambar berukuran kecil untuk digabungkan dengan gambar lebih besar dan objek beraneka saiz. Pastikan setiap gambar disusun rapat,” katanya.

Paras ketinggian gambar yang ingin digantung terpulang kepada luas dinding dan selera peribadi namun, untuk impak terbaik, pastikan gambar diletak separas atau bawah sedikit dari paras mata. Sebaiknya, gambar itu disusun dalam kedudukan lurus dan jarak tepat jika mahu ia dilihat seimbang dan harmoni.

Bagi dinding menempatkan sofa dan laci, pastikan gambar atau objek yang digantung berjarak rapat dengan perabot itu. Selain menjamin kesan visual yang baik, gambar yang digantung jauh dari kelengkapan berkenaan kelihatan seperti tergantung sekali gus janggal dipandang.

Sewaktu merancang memenuhi dinding dengan gambar dan perhiasan, kenal pasti dulu bahagian tengah dan titik pusat dinding. Seterusnya, mulakan menggantung gambar di penjuru paling kanan dan kiri dinding sehingga mendekati titik tengah yang ditetapkan.

Michael Houghton, seorang lagi pakar hiasan dalaman turut menyediakan teknik menggantung gambar dengan betul menerusi artikelnya di laman web http://www.bhg.com.

Houghton berkata, ketinggian tepat gambar dan objek yang ingin digantung mampu diagak dengan meminta bantuan individu lain memegangnya. Cara ini membolehkan anda menilai sama ada kedudukan gambar digantung senget atau terlalu tinggi.

Selain itu, paku perekat dicadangkan Houghton bagi menstabilkan kedudukan gambar. Namun, ini tidak digalakkan bagi dinding berhias kertas kerana membuatkan kertas itu tercarik.

Bagi yang ingin menggantung himpunan gambar, sediakan dulu lakaran susun atur atau rangka gaya susunan di lantai. Selain mendapatkan gambaran keseluruhan susunan gambar, anda juga boleh menukar perancangan susun atur tanpa perlu mencabut kembali paku dan skru yang boleh merosakkan dinding.

Berita Harian

1 comment:

Terima Kasih.

Mana Satu Pilihan Kalbu

Seperti yang kita tahu bahawa Kereta Myvi Baru telah pun dilancarkan pada 16 November 2017 yang lepas. Menarik bukan??? Pasti ramai yang ...