Monday, June 28, 2010

SESUAIKAH LANTAI KAYU LAMINA DENGAN GAYA INGGERIS?




Ramai yang bertanyakan soalan inikan. Mungkin ianya tidak semudah yang disangka. Namun pada pendapat zures...semua itu bergantung pada kreativiti individu itu sendiri. Berbagai cara dan idea boleh digarap untuk menyuaipadankan lantai tersebut dengan konsep yang diinginkan. Apa yang penting rumah nampak kemas dan teratur. Dibawah ini ada artikle tentang lantai kayu berlamina. bagi sesiapa yang berminat bolehlah membacanya sebagai panduan dan pengetahuan. Mungkin ada yang berminat untuk bertukar kepada lantai jenis ini pula kan.


LANTAI KAYU BERLAMINA

LANTAI adalah kemasan yang menutup tanah supaya penghuni rumah dapat berjalan dan berpijak dengan selesa. Lantai besar fungsinya kerana menerima dan menanggung beban hidup dan mati.

Beban hidup yang dimaksudkan ialah berat manusia serta peralatan manakala beban mati adalah berat bangunan membabitkan kemasan lantai serta struktur bangunan. Lantai turut memainkan peranan penting dalam keperluan ruang. Tanpa lantai sempurna, aktiviti manusia di ruang kediaman terganggu.

Lantai kayu mesra alam, selesa dipijak dan tahan lama.

Lantai kayu mesra alam, selesa dipijak dan tahan lama.

Pelbagai pilihan bahan kemasan ditawarkan namun pastikan yang dipilih mengikut kesesuaian seni bina, konsep reka bentuk dalaman selain aktiviti dijalankan.

Bagi aktiviti membabitkan air seperti di bilik mandi, anda disyorkan memilih kemasan lantai tidak resap air dengan permukaan tidak licin.

Kriteria memilih kemasan lantai

Pemilik perlu bijak mengenalpasti kemasan lantai yang mampu menonjolkan konsep kediaman mereka. Ini kerana, pemilihan lantai menarik berupaya membantu mengindah serta menyerikan ruang kediaman. Namun, pemilihan tidak semestinya berdasarkan cantik semata-mata sebaliknya dipastikan praktikal, selamat, sihat dan mesra alam.

Pemilihan jenis bahan dan kemasan lazimnya ditentukan berdasarkan faktor jenis serta kualiti kemasan digunakan.

Antara kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum memilih jenis dan kemasan lantai ialah:

  • Ketahanan terutama bagi ruang yang sering digunakan.
  • Kos penggunaan bahan, pemasangan dan penyelenggaraan yang membabitkan masa,tenaga serta perbelanjaan.
  • Mengambil kira aspek estetika dan praktikal khususnya bagi keperluan seni bina.
  • Keperluan kepada kawalan menyerap kesan bunyi dan akustik.
  • Mampu menyaring dan menyerap cahaya yang boleh memberi kesan menarik di ruang.
  • Memenuhi kod kawalan kebakaran dan keselamatan.

Idea memilih lantai kayu

Pilihan lantai tepat selain mencipta suasana hangat semula jadi di ruang juga berupaya menyerap bunyi. Ini mengilhamkan pilihan lantai kayu yang ditonjolkan di bilik tidur, ruang tamu dan ruang tamu.

Lantai kayu yang digandingkan dengan kemasan lain seperti marmar mampu menonjolkan kelainan. Gandingan dua bahan ini serasi disebabkan corak serta nada warnanya semula jadi.

Namun, ramai juga keberatan memilih lantai kayu kerana faktor harga mahal, sukar dijaga selain merasa bertanggungjawab memelihara alam sekitar.

Begitupun, menerusi teknologi, masyarakat masih boleh menyelamatkan bumi dan mengurangkan kesan negatif meskipun memilih lantai kayu, dengan syarat bahan dipilih adalah jenis kitar semula.

Tidak dinafikan, suatu ketika dulu lantai kayunya kurang mesra alam dan tidak menjimatkan kerana dipasang menggunakan bahan perekat dan paku. Cara ini menyebabkan sebahagian besar lantai itu rosak dan tidak boleh diguna semula kala berpindah rumah.

Masalah ini selesai setelah teknik pemasangan kekunci yang menekankan penyambungan baru tanpa paku dan bahan perekat diilhamkan. Menerusi cara baru ini, pengguna boleh membuka semula lantai kayu jika ingin memasangnya di tempat lain. Lantai berkenaan mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik.

Pilihan lantai kayu

Dua pilihan lantai kayu iaitu kayu padu dan berlamina. Lantai kayu padu secara teknikalnya, berciri tahan cuaca dan tidak mudah dimakan anai-anai. Kayu berlamina pula lebih murah berbanding kayu padu selain mempunyai kelebihan mudah dijaga, tidak menyerap air dan tidak mudah calar.

Kayu jati, oak dan merbau adalah sebahagian lantai kayu padu. Kayu merbau paling digemari kerana menampilkan keaslian warna dan ira kayu.

Menerusi konsep kitar semula, lantai kayu padu akan ditukarkan kepada lantai berlamina. Selepas melalui proses kitar semula, lantai berlamina berkenaan dijual dengan harga jauh lebih murah, pelbagai warna namun mempunyai ira kayu sama dengan kemasan kayu padu.

Terserah kepada pengguna membuat pilihan lantai kayu bertepatan cita rasa dan gaya penataan. Biasanya, faktor harga menjadi kayu ukur. Harga lantai ini biasanya bergantung ketebalan, kemasan permukaan serta jenis kayu.

Di pasaran, lazimnya, lantai kayu berlamina dijual di sekitar harga RM7 hingga RM13 untuk sekaki persegi sedangkan lantai kayu padu harganya berlipat kali ganda dari itu.

Tip Penjagaan Lantai Kayu

Mengetahui asas penjagaan kemasan kayu penting bagi mengekalkan keaslian serta jangka hayatnya. Menjaganya dengan baik juga dapat mencegahnya daripada reput dan rosak. Justeru, anda disyorkan:

  • Jangan guna kain mengelap yang basah tetapi lap lantai dengan kain kering. Ini kerana air menyebabkan kayu menjadi lembap seterusnya cepat rosak. Sewaktu membersih, gunakan cecair pembersih khas untuk kayu.
  • Hamparkan alas misalnya permaidani dan tikar di bawah perabot serta kelengkapan. Langkah ini bagi mengelakkan lantai calar akibat bergeser dengan perabot.
  • Jangan seret, tarik dan tolak perabot berat tetapi angkat perabot itu. Geseran perabot meninggalkan bekas yang memburukkan lantai.
  • Lindungi lantai yang kerap dipijak dengan permaidani. Namun, pastikan permaidani berkenaan mempunyai cengkaman kuat dan tidak mudah bergeser.
  • Hindari menumpahkan cat dan simen di lantai kerana bahan berkenaan mudah menyerap dalam kayu. Bersih segera lantai sebaik terkenan tumpahan supaya ia tidak menyerap jauh ke dalam hingga merosakkan struktur kayu.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih.

Mana Satu Pilihan Kalbu

Seperti yang kita tahu bahawa Kereta Myvi Baru telah pun dilancarkan pada 16 November 2017 yang lepas. Menarik bukan??? Pasti ramai yang ...